Kita orang bisnes, mesti ada buat promosi. Tujuan kita buat promosi adalah untuk menaikkan jualan.
Selalunya kita akan buat promosi pada masa dan keadaan tertentu. Kita boleh buat promosi masa musim perayaan. Kita juga boleh buat promosi untuk produk terbaru.
Yang penting kita mesti tahu Return On Investment. Berapa duit yang dah dilaburkan untuk kempen promosi? Berapa pula jualan yang kita dapat?
“Boleh bagi contoh ayat promosi produk tak?” ?
Ish mestilah boleh. Saya payung 10 contoh ayat promosi produk. Okey?
Contoh ayat promosi makanan ada, contoh ayat promosi baju ada, contoh ayat promosi produk kecantikan ada, contoh ayat promosi kuih raya ada, contoh ayat promosi kek ada.
“Contoh ayat promosi perfume dengan Coway ada?” ?
Contoh ayat promosi Coway dengan perfume pun ada. Saya bagi lagi contoh ayat promosi tudung, contoh ayat promosi produk kesihatan dan contoh ayat promosi takaful.
Kita akan gunakan formula PAS untuk tulis ayat promosi ni.
PAS bukan bermaksud Parti Islam Semalaysia. Tapi bermaksud Problem – Agitate – Solve.
Problem:
Terangkan masalah yang pelanggan anda sedang hadapi.
Agitate:
Ingatkan betapa menyusahkan masalah tersebut kepada hidup mereka.
Solve:
Beritahu bagaimana anda boleh hilangkan masalah yang menekan hidup mereka.
10 CONTOH AYAT PROMOSI PRODUK
1) CONTOH AYAT PROMOSI MAKANAN
Problem:
Pernah tak anda terbeli karipap berinti angin? Dari luar nampak sedap. Nampak gemuk seperti dipenuhi dengan isi kentang dan daging. Rupa-rupanya inti angin yang penuh.
Agitate:
Dah la anda beli karipap tu untuk dihidangkan kepada tetamu. Aduh malunya bila tetamu tenung je isi karipap yang melopong tu. Mana nak letak muka ni?
Solve:
Karipap Mak Milah tak akan memalukan anda. Karipap dipenuhi inti daging segar dan kentang berkualiti. Diadun bersama rempah ratus turun menurun. Setiap gigitan akan terasa rangup sekali. Menyebabkan tetamu anda rasa puas dan kesedapan. Whatsapp 012 345 6789 sekarang untuk tempahan. 10 tempahan terawal akan dapat karipap ekstra.
2) CONTOH AYAT PROMOSI BAJU
Problem:
Setiap tahun masa raya, mesti isteri minta pakai baju raya sedondon. Kita orang lelaki ni tak kisah sangat nak sedondon bagai. Tapi kalau tak diturutkan, mulalah isteri tarik muka sedepa.
Agitate:
Masalahnya baju raya ni bukan murah. Satu set baju Melayu pun dah beratus-ratus. Itu belum masuk baju raya untuk isteri dan anak-anak. Keringlah poket jawabnya.
Solve:
Tapi sekarang anda boleh dapatkan satu set baju Melayu dengan hanya RM99. Betul, ini bukan cubaan. Anda akan dapat baju, seluar, sampin dan butang baju Melayu sekali. Promosi Aidilfitri bermula 1 April hingga 20 April sahaja.
3) CONTOH AYAT PROMOSI PRODUK KECANTIKAN
Problem:
Bulan depan dah nak bernikah. Tapi muka nampak kusam je. Tak nak lah muka tak nampak berseri-seri dalam gambar nikah nanti.
Agitate:
Gambar nikah tu lama nak simpan. Nak tunjuk kat famili. Nak tunjuk kat kawan-kawan. Tapi kalau muka kusam? Hmmm.. mesti ada yang mengata belakang-belakang.
Solve:
Nak muka berseri-seri pada hari pernikahan? Gunakan serum XYZ. Muka yang kusam akan menjadi berseri-seri dalam masa 2 minggu. Semua pembeli bulan ini akan dapat sebotol serum percuma. DM saya sekarang.
4) CONTOH AYAT PROMOSI KUIH RAYA
Problem:
Bila tengok dari luar bekas, nampak cantik sangat kuih raya tu. Kita pun belilah sebab ingatkan rasanya secantik rupanya. Sekali tertipu.
Agitate:
Rupa dah elok. Tapi rasa tu ya ampunnn. Rasa manis hilang. Rasa masin takde. Rasa pedas tenggelam. Yang timbul rasa tawar. Ini kuih raya ke kapur?
Solve:
Dengan kuih raya Cik Mona, anda tak akan alami pengalaman sebegitu. Kuih raya Cik Mona bukan saja nampak cantik, rasanya juga sedap. Harga kami agak premium sebab kami menggunakan bahan berkualiti dan berikan bahan secukupnya supaya kuih terasa sedap. Kami tak menjimatkan bahan supaya boleh menjual dengan harga murah tapi rasa kuih menyakitkan hati. PM kami sekarang untuk tempahan. Balang kuih raya percuma akan diberikan kepada pelanggan bertuah.
5) CONTOH AYAT PROMOSI KEK
Problem:
Anak ada 5 orang. Setiap kali hari jadi mesti minta dibelikan kek. Kalau tak dibeli, merajuklah jawabnya. Harga kek bukannya murah.
Agitate:
Kalau di S____t R____e tu, satu kek boleh cecah RM130. Kalau 5 kali beli dah jadi RM650. Aduh membazirnya. Kalau gaji besar takpe juga. Belanja sekolah masing-masing pun dah tinggi.
Solve:
Tapi di Kafe Mia, anda boleh dapatkan kek hari jadi dengan harga serendah RM50. Boleh tulis nama atas kek. Anda juga akan dapat lilin dan pisau potong kek. Sepanjang bulan Mei ini kami berikan percuma kad hari jadi. Bolehlah anda tulis ucapan kasih sayang untuk anak tercinta. Anda bawa flyers ini ke Kafe Mia untuk tuntut kad hari jadi percuma.
6) CONTOH AYAT PROMOSI PERFUME
Problem:
Kadang tu kita tak sedar yang badan kita berbau. Kalau berbau harum takpe, ini bau yang sangat kurang menyenangkan. Kita mungkin tak sedar sebab dah terbiasa dengan bau tu.
Agitate:
Tapi tidak orang sekeliling kita. Sekali dia dah bau, taubat nak datang kat kita lagi. Itu takpe lagi. Yang tak bestnya dia mula bergosip dengan orang lain yang badan kita berbau tengik.
Solve:
Elakkan orang lari daripada anda dan bergosip bukan-bukan pasal anda. Calit je dengan perfume XYZ. Sekali calit, tahan wangi dari pagi sampai ke petang. Promosi hari gaji, beli 2 botol dapat diskaun 10%.
7) CONTOH AYAT PROMOSI COWAY
Problem:
Anak suka bela kucing. Tapi masalahnya dia ada alahan dengan bulu kucing. Tiba-tiba je akan kerap bersin. Bila nak dihalang bela kucing, mulalah dia mengamuk.
Agitate:
Bukan itu saja. Ditambah pula dengan asma yang dia ada. Lagi boleh memburukkan tahap kesihatan. Kadang-kadang boleh jadi kerap batuk.
Solve:
Untuk mengelakkan perkara yang buruk menimpa anak tercinta, cuba gunakan penapis udara Storm daripada Coway. Segala macam habuk dan debu dapat disedutnya. Paling penting, bulu-bulu kucing tu pun disedutnya sekali. Dapatlah anak terus membela kucing kesayangannya. Harga promosi sekarang cuma RM70 sebulan. Selepas ini akan naik RM90 sebulan. Klik link ini sekarang.
8) CONTOH AYAT PROMOSI TUDUNG
Problem:
Kami ramai pelanggan di kalangan nurse. Masalah utama mereka nak cari tudung putih yang sejuk dan senang dibentuk. Banyak tudung rasa sejuk yang orang jual nipis kainnya. Jadi susah sikit nak dibentuk.
Agitate:
Masa nak menggosok tudung jadi lama sebab nak kena gosok dengan kanji. Dah buang masa kat situ. Dah la hampir setiap hari kena gosok tudung putih tu. Itu belum kira nak gosok baju dengan seluar kerja lagi.
Solve:
Anda pun ada masalah yang sama kan? Anggap saja masalah ni bakal selesai. Sebab tudung putih kami pasti menjadi pilihan anda. Tudung kami masih berasa sejuk walaupun kainnya tebal sedikit. Bukan itu saja. Ianya juga mudah untuk dibentuk. Tak perlu pun nak gosok lama-lama dengan kanji. Oh ye.. bulan ni kami ada buat cabutan bertuah. PM page kami untuk maklumat lanjut.
9) CONTOH AYAT PROMOSI PRODUK KESIHATAN
Problem:
Ibu dan ayah semakin berumur. Lutut dah mula tak kuat. Nak solat pun susah. Slow motion saja pergerakannya.
Agitate:
Kadang-kadang tu terpaksa solat secara duduk. Sebab terasa sakit sangat kat bahagian kepala lutut. Sakit tu pula terbawa-bawa masa nak tidur. Sampai nak tidur pun rasa susah.
Solve:
Sebagai anak yang baik, ini yang boleh anda buat untuk ibu dan ayah tersayang. Hadiahkan mereka spray XYZ. Spray 2 kali pada setiap lutut di waktu pagi dan sebelum tidur. Lutut akan kembali menjadi semakin kuat. Kalau anda ragu-ragu, kami boleh berikan sampel percuma untuk dicuba dulu. Isi saja borang di bawah sekarang.
10) CONTOH AYAT PROMOSI TAKAFUL
Problem:
Anak-anak sering gunakan kereta anda untuk ke tempat belajar. Bila mereka dah lambat nak ke kelas, mesti mereka akan bawa laju macam kereta F1. Anda mesti risau tentang keselamatan mereka.
Agitate:
Kena pula sekarang ni ramai yang bawa kereta macam orang gila. Selamba je bawa kereta laju-laju di lorong yang bertentangan. Sampai yang eksiden mati pun ada.
Solve:
Lindungilah anak-anak anda. Dapatkan produk terbaru kami iaitu takaful MyMotor. Bukan diri anda sebagai tuan punya kereta saja dilindungi. Anak-anak anda sebagai pemandu juga dilindungi. Anda boleh hubungi kami 24 jam sehari dan 7 hari seminggu jika terlibat dengan kemalangan. Kami sentiasa bersedia untuk membantu di mana pun anda berada. Klik butang di bawah untuk dapatkan tawaran istimewa tahun baru.
Saya dah pun payungkan 10 contoh ayat promosi produk. Puas hati? Saya harap puas lah ye?
Paling penting anda kena test contoh-contoh ayat promosi produk ni. Baru anda tahu berkesan atau tidak untuk bisnes anda.
Semoga 10 contoh ayat promosi produk ini boleh meningkatkan jualan anda pada bulan ini dan bulan-bulan akan datang. Baru berbaloi buat kempen promosi.
Antara 10 contoh ayat promosi produk ni yang mana satu anda akan test dulu? Nanti dah test, bagitahu saya apa hasilnya.
Contoh ayat promosi untuk jual pokok bunga ada?
belum ada.. dah cuba buat sendiri?
Best lah semua ni
Semoga bermanfaat.. selamat mencuba!
Contoh ayat promosi buku
belum ada.. dah cuba buat sendiri?
Sngt membantu,tpi sya nak contoh ayat makeup art seperti perhikmatan mak andam ada tak contoh ayat yg sesuai 🥹