Umar Bin Mohamad Taib merupakan pengarah urusan Usahawan Super Solution dan UMT Works Enterprise yang beroperasi di Bandar Sunway. Beliau sudah mula berjinak dalam bidang bisnes semasa bergelar pelajar. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Petaling dan kemudian Sekolah Menengah Kebangsaaan Lelaki Bukit Bintang di Petaling Jaya.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi pilihan beliau ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Di UiTM Melaka beliau mengambil jurusan Diploma Pengajian Perniagaan dan di UiTM Shah Alam pula beliau mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran.
Semasa di universiti beliau sudah sibuk berbisnes sedangkan rakan sebaya yang lain hanya menumpukan kepada pelajaran. Buku-buku bisnes yang dibeli daripada kedai buku MPH dan Popular lebih banyak dibacanya daripada buku universiti. Di universiti jugalah beliau mula berjinak-jinak dengan perniagaan online. Cubaan pertama beliau menjual produk fizikal iaitu al-Quran digital terpakai berjaya dan telah menyemarakkan semangat beliau untuk terus meneroka potensi bisnes secara online.
Beliau kini terlibat dalam perniagaan latihan keusahawanan, pengurusan acara, media digital, percetakan, cenderahati korporat, pakaian dan lain-lain.
Beliau turut diundang untuk memberi ceramah bisnes di universiti dan untuk kerajaan mahupun swasta. Beliau juga aktif menganjurkan program sendiri seperti Seminar Mudah.my, Bengkel Mudah.my dan lain-lain. Baru-baru ini beliau telah diangkat menjadi salah seorang ikon di antara usahawan-usahawan internet terkenal bagi acara tahunan sebuah komuniti usahawan internet Malaysia iaitu WangCyber.com dan Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM).
Beliau mempunyai buku sendiri iaitu Panduan Bisnes Mudah.my yang diterbitkan oleh PTS NetMedia. Beliau juga mempunyai produk audio yang diterbitkan oleh Buku Audio Publication iaitu buku audio Teknik Berkesan Menjual di Facebook, buku audio Teknik Berkesan Menjual Melalui Emel dan buku audio Teknik Berkesan Menjual Dengan Mudah.my.
Beliau sendiri ada mengeluarkan beberapa produk informasi bisnes seperti ebook, audio, video, DVD dan lain-lain.